Johan? Atau Risman? Ah, aku dah lupa nama budak tu. Tapi kami punyai nasib yang sama. Kedua-dua telah diberi amaran dari kolej beberapa semester yang lepas supaya lebih aktif di dalam ko-kurikulum. Dan akhirnya..kami tetap tidak memenuhi piawaian.
“Kau nak duduk mana?” Dia tanya aku selepas kami keluar dari bilik pengurusan kolej.
“Entahlah bro. Aku pun buntu.” Aku jawab selamba. Gusar sebenarnya, tapi nak buat bagaimana lagi. Kolej tetap tidak membenarkan mereka yang tidak aktif luar dari akademik untuk terus berada di asrama.
“Kita cari rumah sewa. Kita duduk berdua nak?” Johan? Risman? Ah atau apa namanya mengeluarkan usul.
Aku menghela nafas berat. Aku pandang langit yang mula muram. Semuram perasaan aku. Bukan senang nak mencari rumah sewa di kawasan urban sebegini dengan harga yang murah. Apatah lagi jika duduk berdua. Rumah sewa sekurang-kurangnya kena duduk lebih sepuluh orang baru mampu membayarnya.
“Rokok?” Dia mempelawa pada aku.
“Tak. Aku tak merokok. Haram.” Aku sengih. Pelajar-pelajar lain yang lalu-lalang adakalanya memandang kami. Biasanya yang duduk di depan kaki lima bilik pengurusan kolej macam orang kalah judi adalah pelajar yang bermasalah. Ya, itu tepat. Kami memang tengah bermasalah.
“Bolehlah. Masa seminggu yang diberi ini kita cuba cari rumah sewa.” Aku bingkas bangun sambil menepuk punggung. Jeans yang aku beli dari kedai bundle dua bulan lepas sedikit berdebu.
“Tapi tolong jangan merokok dalam rumah boleh?” Aku meminta kepastian.
“Don’t worry bro. Aku social smoker. Ini pun plan nak berenti. Cuma kepala aku serabut sekarang.” Dia sengih kembali.
Tangan kami bertaut. Kami bertukar no telefon. Dia pelajar jurusan IT. Aku pula kejuruteraan Kimia. Jauh beza tapi mungkin ada gunanya.
Persahabatan dua manusia mula terjalin erat. Dan oh namanya Faizal Thohir. Macam nama penyanyi. Dari mana datangnya pula Johan? Risman?
Jujur. Fikiran aku juga berserabut sepertinya.
***
“RM200 saja. Api air you olang bayar sendili.” Mr Chiew menepuk-nepuk perutnya yang buncit.
“Serius ni apek?” Faizal Thohir memandang Mr Chiew tak berkelip. Dia tak percaya. Aku juga sebegitu. Masakan sebegitu murah.
Mr Chiew masih tersenyum kering. Matanya yang sepet makin bertambah sepet. Sesekali dia menggaru belakang yang terdedah di sebalik singlet hijau yang tampak kusam.
Selipar Tat Sing yang dipakainya tidak menampakkan Mr Chiew serius ingin menyewakan rumah. Perwatakannya lebih menjurus seperti baru balik pasar.
“Haiya manyak butut(betul) la. Kasi you olang manyak mulah. Tapi..” Dahi Mr Chiew berkerut.
Aku pandang dalaman rumah. Tidak terlalu besar. Tidak terlalu kecil. Rumah kampung dengan tiga bilik. Halamannya lapang dengan rumput hijau saujana memandang. Perabut tiada. Rumah lebih kurang berpuluh tahun lama.
Pagar depan berkarat teruk. Bumbung, dinding kayu nampak diganti serta dicat kemasan baharu. Rumah ini mungkin sudah dibaiki beberapa bulan yang lepas. Namun habuk yang ada di lantai seakan sudah ditinggal sekian zaman.
Apapun, kedudukan yang strategik dengan jalan tikus membolehkan kami dari kawasan pinggiran ini tiba ke kolej lebih kurang dua puluh minit.
“Tapi apa apek?” Giliran aku bersuara. Aku hanya membiarkan Faizal Thohir yang banyak bertanya sedari tadi. Bukan apa, sejak melangkah kaki ke dalam rumah ini, bulu roma aku asyik meremang.
“Isk..macammana mau celita aa. Ini lumah latuk saya punya. Sulah lama. Lamai sulah masuk sewa..tapi talak tahan. Lumah ini ala..” Mr Chiew mengerutkan dahi. Dia tidak menghabiskan ayatnya.
“Ada apa apek?” Aku bertanya lagi.
“Haiya. Lu olang kasi masuk lulu. Kasi duduk lulu. Ini sewa kasi murah saja. Asalkan ala olang duduk saya sulah ok maa.”
Aku pandang Faizal Thohir. Dia membalas pandangan aku. Esok hari terakhir untuk kami tinggal di kolej. Rumah sewa yang lain di bandar semua mahal. Biasiswa kami hanya cukup makan. Jika tidak kami terpaksa makan mee segera setiap hari. Paling teruk terus tidak makan.
“Kami setuju!” Aku dan Faizal Thohir serentak bersuara.
Matahari petang menyelinap masuk ke celahan tingkap kayu yang usang. Bunyi burung jelatik dari kejauhan mencuri pendengaran, kemudian senyap kerana terbang tinggi. Bagaimana nasib kami di rumah baru ini?
***
“Kau pasti?” Aku menenyeh mata.
Faizal Thohir mengangguk keras. Aku pandang jam dinding Kitty Cat pink pemberian bekas kekasih aku dahulu. Hadiah harijadi yang ke-21. Jodoh tak panjang. Dia memilih lelaki lain. Katanya aku terlalu kacak untuk beliau.
Aku bangun menguap. Faizal Thohir sudah membuka lampu di dalam bilikku. Tidak cukup dengan itu, lampu belajar di mejaku juga dipasangnya. Terang-benderang.
“Kau pasti?!” Aku bertegas sekali lagi. Faizal Thohir masih mengangguk seperti tadi.
Aku mengambil satu bilik untuk diriku. Faizal Thohir pula mengambil bilik lain untuk dirinya. Bilik yang satu lagi kami letak barang-barang lebihan. Lebih kurang macam stor. Peliknya, Faizal Thohir mengejutkan aku di tengah pagi buta pukul 01:00 kerana katanya ada suara perempuan di dalam rumah.
Aku memejam mata. Cuba fokus kalau-kalau terdengar sebarang suara. Mulut menguap lagi namun mata tetap dikatup.
“Suara jiran kot?” Aku bertanya pada Faizal Thohir. Tapi aku kembali ke bumi untuk menyedari bahawa itu adalah soalan bodoh. Rumah kampung sebegini jaraknya dengan rumah lain agak kejauhan. Tinjaun kami setiap petang membuktikannya.
Dan solan aku tadi terjawab sendiri..
Sejurus aku bertanya, kedengaran suara perempuan seakan bernyanyi. Bersenandung lebih tepatnya. Halus, merdu, mendayu entah apa lagi perkataan yang mampu aku simpulkan. Butirannya, lebih seperti nyanyian seorang wanita di dalam opera Cina.
“♩♪Seharum bunga yang menggoda,
Sekadar dipandang usah di puja,
Kau pasti tak percaya,
Kasihku bukan untukmu, sayang.. ♩ ♪”
Faizal Thohir dah terkunci mulutnya. Aku juga bertindak selayaknya. Kami masing-masing telan air liur.
Lagu ‘Misha Omar, Pulangkan’ pulak dah. Dan tiba-tiba aku rasa nak terkencing.
“Ryan, macammana ni?” Faizal Thohir genggan tangan aku. Punyalah kuat. Aku dapat bayangkan perasaan Jack masa kena genggam tangan dengan Rose dalam Titanic.
Belum sempat aku jawab..
Nyanyian tadi bertukar menjadi esakan. Mula-mula perlahan kemudian bertukar menjadi jeritan. Serentak dengan itu rumah kami terpadam lampunya. Dan jeritan demi jeritan beserta bunyi seseorang seperti sedang dipukul betul-betul kedengaran di depan bilik aku.
Malam itu, kami tertidur sambil duduk. Berkelubung di bawah satu selimut menanti andaikata pintu bilik tidur aku dibuka oleh..apa jua yang sedang bergaduh di luar bilik itu.
**
Aku pandang mata Faizal Thohir. Lebam sama macam aku. Tidak cukup tidur.
“Patutlah apek tu bagi murah sewa.” Suara Faizal Thohir lemah. Aku hanya mengangguk.
“Kau nak duduk rumah tu lagi?” Faizal Thohir bersuara lagi. Selalunya dia ceria apabila bertemu aku di cafeteria. Hari ini tidak. Kami sama-sama dilanda mendung di ufuk timur.
“Mana lagi kita nak duduk bro? Rumah semua mahal. Semua yang kita cari sebelum ni pun dah penuh.” Aku balas persoalan Faizal Thohir.
“Aku sanggup tidur di fakulti!” Faizal Thohir pandang jauh ke hadapan. Tenggelam dalam keramaian pelajar lain.
“Fakulti lagi banyak hantu. Kau ingat cerita kepala hantu dalam makmal?”
Faizal Thohir terdiam. Secara realiti, fakulti kolej lebih banyak ceritanya. Ada hantu Jepun, ada wanita berjubah putih terjun dari bangunan, ada hantu dalam lif dan waktu tengah malam ramai pengawal keselamatan jumpa lelaki tua berbaju seragam doktor warna putih tanya dah vaksin ke belum?
“Kita cuba dulu sebulan bro? Sempatlah kita carik alternatif lain sementara tu. Apapun kita kena kuat. You never know how strong you are, until being strong is your only choice.” Aku suntik harapan pada Faizal Thohir. Ya, ini baru satu malam di rumah tersebut!
“Beautiful bro! Kat mana kau ambil quotation tu?” Faizal Thohir tanya aku.
“Bob Marley.”
Faizal Thohir mengangguk-angguk. Dia sambung mengunyah roti yang terhenti. Dan pandangan kami sama-sama tenggelam di dalam harapan masing-masing untuk menghadapi malam nanti.
**
Dalam. Terlalu dalam. Itu sahaja yang mampu aku katakan.
Aku sedang jatuh ke dalam jurang yang terlalu dalam. Tangan aku tergapai-gapi mencari apa sahaja yang mampu dicapai. Jika begini keadaannya aku jatuh, tentu badan aku akan bersepai.
Aku terasa angin menderu menampar pipi dan aku cuba menoleh. Terlalu kelam untuk aku melihat. Tanpa setitis cahaya di mata, mustahil aku akan nampak apa-apa.
“Bam!” badan aku menghenyak sesuatu. Ia terlalu lembut dan layaknya bagai menyambut kejatuhan aku tadi. Aku meraba-raba di sekitar. Dan apabila menyedarinya..
Hati aku kecut. Betul-betul kecut ketakutan. Aku rasa aku jatuh di atas gumpalan rambut. Rambut yang tebal dan kasar.
Tiba-tiba aku ditolak lagi deruan angin yang menyebabkan aku melayang-layang macam benih bunga. Dari udara aku nampak sebuah kuil yang disinari cahaya bulan. Punyalah terang cahaya bulan itu lebih kurang macam spotlight, membolehkan aku nampak struktur kuil yang seperti binaan kuil Hindu lama. Namun binaannya lebih ortodoks.
Aku hanya mampu memejam mata apabila badan aku ditolak masuk ke celah batuan kuil tersebut.
Ternyata jasadku menembusi semua yang ada dan kelihatan lima orang lelaki sedang mengelilingi satu gumpalan tulang. Badan aku melayang mendekati mereka. Ternyata itu tulang manusia dengan sebiji tengkorak yang memutih.
Dan mereka langsung tidak menyedari akan kehadiran aku.
Buat seketika aku memerhati mereka. Nyatanya perbualan mereka adalah mahu segera membakar tulang tersebut. Sebelum..
Sebelum melintas seorang wanita muda di hadapan aku. Dia kelihatan tersenyum padaku dengan mata merah seperti zamrud. Ada satu aura yang menggerunkan padanya.
“Raii—yaaan!”
Aku dengar bisikan itu. Halus. Gemersik. Macam iklan kurma.
“Raiyan! Raiyan!” Suara lain memanggil. Lebih kuat. Aku kenal suara itu.
“Raiyan! Bangun!”
Aku menoleh. Kelihatan wajah Faizal Thohir yang kabur dan mulai jelas. Ekspresi mukanya cemas sungguh.
“Kau bermimpi!” katanya.
Aku memandang sekeliling. Faizal Thohir sedang memegang baldi dengan keadaan aku yang sedang basah kuncup. Apa yang paling mengejutkan ialah aku sedang berdiri di atas kerusi dengan leher aku sudah terikat pada kipas siling di ruang tamu.
“Kau nak bunuh diri?” Itu kata-kata terakhir Faizal Thohir yang aku dengar sebelum aku merasa pening, terjelepuk jatuh dan pengsan. Mujur dia sempat menyambut aku.
**
Penat nak mampus. Itu yang mampu aku katakan. Lepas kuliah aku sambung buat tugasan Teknologi Kimia. Kena lukis rajah struktur reaktor.
Siap semuanya aku keluar dari perpustakaan. Jam dah 08:00 malam. Aku dah janji dengan Faizal Thohir di tempat parkir awam. Bukan apa, balik sekali senang. Balik asing-asing memang kami dah takut.
“Pergh power bro ayam khampred ni. Tak sia-sia kita beli.” Faizal Thohir mengangkat ibu jari tanda bagus. Aku mengiyakan. Masakan dari kedai Melayu-Thai bernama Sukumvhit berdekatan rumah kami memang terbaik. Terasa rempahnya. Itu belum tomyam lagi.
Masuk pukul 12:00, mata aku dah kuyu. Aku dah tak sanggup sambung main ML. Faizal Thohir mintak diri balik ke bilik. Memang masing-masing dah layu.
Tapi tepat jam 01:00 macam malam-malam yang lepas, Faizal Thohir kejut aku lagi.
“Bro! Bangun-bangun!”
Aku terasa tubuh aku digoncang kuat. Aku buka mata. ‘Eh, bila masa pulak aku tidur kat ruang tamu?’ Aku memandang wajah Faizal Thohir meminta kepastian.
“Hehe..Aku yang angkat ko. Punyalah aku kejut kau tadi, tak bangun-bangun. Last sekali aku angkatlah kau. Kau dengar tak tu?”
Darah aku berderau.
“Api! Api!” Terdengar suara orang ramai menjerit kuat. Mata aku terus celik dan segar. Baru aku nak melangkah keluar Faizal tarik aku dari belakang.
“Bro. sabar dulu.” Jarinya menunjuk ke atas.
Benar, bunyi jeritan tadi bukan dari luar rumah. Sebaliknya dari atas rumah. Sesekali ia kedengaran sayup dari kejauhan. Sesekali ia seperti di atas rumah kami. Aku amati suara itu. Suara lelaki yang serak-serak basah.
“Habis, kenapa kau angkat aku?” Aku telan air liur.
“Sebab mula-mula aku ingat ada kebakaran!” Faizal Thohir sengih. Kemudian dia bangun mencangkung duduk di satu sudut, membelakangi aku.
“Dah kenapa dengan kau?” Aku pelik dengan perlakuan Faizal Thohir.
“Aku nak makan sekejap. Lapar.”
Apa yang pasti, aku tidak tunggu lama untuk terus lari ke bilik Faizal Thohir. Yang pertama bila aku dengar Faizal Thohir makan macam seolah-solah menggigit tulang yang dipatahkan. Kemudian menjilat-jilat jarinya. Yang kedua kerana aku perlu pastikan sesuatu.
Sahih. Peluh aku turun macam air paip. Aku tengok bentuk tubuh seseorang masih tidur di atas tilam di dalam bilik Faizal Thohir.
Terketar-ketar tangan aku buka sleeping bag yang menutupi keseluruhan tubuh. Kawan aku yang seorang ini dah beritahu siap-siap yang dia akan tidur di dalam seleeping bag, menutupi semua kecuali membiarkan lubang hidung sahaja terkeluar.
Aku menarik nafas lega bila aku buka zip di bahagian muka. Memang Faizal Thohir yang sedang tidur. Tapi wajah aku berubah. Sejak bila Faizal Thohir berambut panjang?
“Bang-Bang-Bang!” Bunyi bumbung rumah diketuk kuat.
“Raiyan, kau nak tumpang makan sekali tak?” suara lelaki serak-serak basah menegur aku. Betul-betul di atas bumbung.
Aku tidak menunggu lama untuk pengsan apabila ada satu tangan mencekup kaki aku dari belakang.
**
“Rumah korang ada bilik untuk disewa kan?”
Aku tersentak dari lamunan. Aku pandang lelaki di hadapan kami. Iklan ‘Bilik Untuk Disewa’ yang kami letak seminggu lepas tak sangka ada orang yang berminat. Dari panggilan telefon membawa kepada perjumpaan ini. Tapi bagaimana aku nak terangkan padanya yang rumah itu ada..
Bagaimana juga aku dan Faizal Thohir nak terangkan yang selama seminggu ini juga kami dah tak tidur malam. Ada bunyi lagu tarian naga, ada lagu nyanyian puak asli dari Australia dengan semboyan ‘didjeridu'.
Dan kadang-kadang aku ternampak seorang perempuan berkebaya dengan mata merah zamrud memandang tajam padaku dari jauh di kawasan fakulti. Perempuan yang aku bermimpi tentangnya dan hampir membuatkan aku membunuh diri dalam tidur. Dan peristiwa itu kami rahsiakan sehingga ke hari ini.
Bagaimana pula aku nak terangkan ada juga satu malam aku pernah pengsan. Punyalah aku terkejut bila Faizal Thohir yang sebenar memegang kaki aku dari belakang. Rupanya dia tengah bersembunyi dari balik almari. Dan dia turut tak sedar diri berbuih mulut apabila ‘Faizal Thohir’ yang berambut panjang sengih padanya selepas aku pitam.
Kami kusut. Tidak tahu kemana lagi mahu pergi.
**
“Ashraf Muslim?" Dia tersenyum. Giginya putih. Tinggi lampai berambut sikat tepi.
“Kau dan pelakon tu adik-beradik ke?” Aku bertanya. Faizal Thohir memandang bilik yang baru dikemas.
“Itu pakcik saya. Keluarga jauh. Adalah irasnya. Nama pun dekat.” Dia senyum lagi.
Aku dan Faizal Thohir berbalas pandangan. Rakan yang seorang ini, dia sentiasa tenang. Senyuman tidak pernah lekang. Dan yang paling menakjubkan, bila dia masuk ke rumah kami, hilang segala rasa bulu roma merinding.
“Buat macam rumah sendiri. Sama-sama duduk di sini. Sama-sama kemas. Kita semua senasib. Tak aktif ko-kurikulum. Kena buang kolej, Cuma kamu lambat sedikit. Apapun, rumah ini seperti yang aku beritahu tu lah.”
Asraf Muslim mengangguk. Pandangannya terarah pada setiap penjuru rumah.
“Cantik rumah ini. Binaan kayu tradisional lama. Saya suka ciri-ciri ekstatik yang ada padanya.”
Kami terdiam. Asraf Muslim pelajar arkitek. Rumah ini memang ekstatik atau apa jua yang kamu ingin gelarkan. Tetapi..tunggulah malam nanti ya.
**
“Raiyan Seacrest, Faizal Thohir, bangun-bangun!”
Aku masih tidak segera bangun. Aku analisa dahulu suara yang aku dengar. Bila dah sahih itu suara Asraf Muslim barulah aku buka mata. Bukannya apa, pengalaman dikejutkan setiap malam mendewasakan aku dalam menangani entiti yang tidak dikenali.
Aku pandang Faizal Thohir yang tidur di sebelah. Dan aku ‘make sure’ rambut dia pendek.
“Kenapa bro? Kau kena ganggu ke?” Aku tanya pada Asraf Muslim. Tapi tak nampak dia macam gelisah pun.
Malahan Asraf Muslim sedang memakai kopiah dengan pakaian serba putih. Berseri-seri wajahnya macam ada cahaya aku tengok. Cahaya syurga kot?
“Rumah ni ada gangguan.” Dia selamba jawab.
“Jom bro, kita lari. Aku dah tak sanggup!” Benar. Aku memang dah tak sanggup. Persetankan quotes Bob Marley. Persetankan hal tiada tempat tinggal. Aku tak larat dah nak pengsan. Cukup!
Aku terus duduk. Aku tutup lubang hidung Faizal Thohir dengan kaki sambil tangan laju mengemas baju-baju. Itu sahaja cara pantas mengejutkan manusia tidur. Ya, aku dan Faizal memang dah tidur sebilik sejak kena ‘kacau’ secara ganas.
“Rilex, Raiyan. Kita Muslim tidak lari dari masalah.”
“Apa maksud kau?” Aku pandang muka Asraf Muslim yang tenang. Kaki aku masih memicit dan menutup kedua lubang hidung Faizal Thohir. Susah pula mamat tu nak bangun. Ada juara rekod menyelam dalam air agaknya.
“Kita Muslim bermaksud ada iman. Dan dengan “iman”, seseorang Muslim sentiasa memohon pertolongan dari Allah. Kita Muslim tidak lari dari gangguan.”
“Muslim tidak lari dari syaitan.” Katanya mengulang. Aku rasa ayat tu macam bergema dalam kepala otak aku. Dan sel-sel kesedaran iman aku secara automatik dihidupkan. Selama ini aku takut pada benda yang salah?
“Jom!” Asraf Muslim ajak kami keluar. Faizal Thohir pun dah bangun. Rileks sahaja macam tak putus nafas. Aku geleng kepala. Kawan aku ini ikan agaknya.
Kami bertiga berdiri di ruang tamu.
“Guys, tolong azan.” Asraf Muslim memejam mata.
Aku pandang Faizal Thohir. Faizal Thohir pandang balik aku sambil sengih.
“Heh. Heh. Heh. Raiyan, kaulah azan.” Mukanya tersipu macam bakal menantu disuruh bakal pak mentua jadi imam solat jemaah.
“Kau dah kenapa? Aku ni cina Muslim. Patut kau lagi terer!” Aku ketap bibir. Muslim apa ni? Aku pun bukanlah tak reti azan. Cuma sekarang aku tengah keliru azan dan doa Qunut tu sama ke?!
“Allahuakbar. Allahuakbar.”
Aku dan Faizal Thohir tersengih malu. Akhirnya Asraf Muslim jugak tonggak harapan kami untuk azan. Apa yang kami mampu buat ialah baca Bismillah. Tak lupa doa makan. Sebab Asraf Muslim kata apa jenis doa pun boleh.
Aku rasa angin menderu laju. Menampar pipi bagai di dalam mimpi yang terdahulu. Namun kali ini berbeza.
Di hadapan aku hamparan rumput hijau dan sebatang sungai putih laksana susu terbentang luas. Aku dengar bunyi burung berkicau. Aku dengar suara zikir bergema di pelusuk alam. Aku kat mana?
“Asraf Muslim?” Aku toleh pada sahabat yang tiba-tiba menepuk bahu aku dari belakang.
“Kita kat mana?” Aku tanya lagi.
“Kita di tempat yang dibawa ayat suci Al-Quran.”
“Apa yang kamu baca tadi?” Aku dengar Asraf Muslim membaca sesuatu selepas azan. Hilang segala jeritan wanita yang nyaring selepas kami bangun tadi. Tiada lagu-lagu asli dan sorakan manusia seperti di dalam pesta lagi.
“Aku membaca Ayatul Kursi.” Asraf jawab tenang.
“Allah! There is no god worthy of worship except Him, the Ever-Living, All-Sustaining. Neither drowsiness nor sleep overtakes Him.”
Dah kenapa tiba-tiba Asraf Muslim cakap English aku pun tak tau. Tapi kata-kata yang dia ucap tu hebat lagi dari Bob Marley.
Apa yang pasti aku nampak sebenarnya aku, Faizal Thohir dan juga Asraf Muslim sebenarnya berada di dalam sebuah kiub cahaya. Tentunya di dalamnya ada sungai dan rumput-rumput tadi, sebaliknya di luar pula aku nampak hutan belantara.
Dalam keadaan hutan yang semak itu, segala makhluk kelihatan dipanah dengan api. Sambaran yang tidak pernah aku lihat sama sekali.
Tajam.
Bercahaya.
Membakar.
Dan aku serta Faizal Thohir, terus membaca doa makan..
**
“Makan apa hari ini?”
Asraf Muslim duduk di sebelah aku. Faizal Thohir masih dengan rotinya.
“Ayam khampred!” kami bertiga serentak ketawa. Aku menekan pesanan makanan pada applikasi FootPanda.
Aku, Asraf Muslim dan Faizal Thohir bertambah rapat sejak malam itu. Alih tak alih dah tiga bulan kami duduk di rumah kayu itu. Menggaru-garu kepala apek cina si tuan rumah melihat kami tidak pindah. Apapun, dia gembira kerana ada orang yang menjaga rumah pusaka itu.
Tiada gangguan lagi pada kami. Segala ibadah yang longgar kami perketatkan. Aku dan Faizal Thohir mula belajar mengaji. Aku juga belajar tulisan jawi. Dan kami berdua belajar banyak doa dari Asraf Muslim. Kami dah pandai berdoa selain doa makan.
“Raii-yaann.”
Bisikan itu! Aku berpaling. Antara nampak tidak nampak, sehelai selendang merah terbang di udara. Beralun mengasyikkan. Dan ia jatuh ke atas bahu seorang wanita jauh dari kami.
Kebaya itu. Mata merah zamrud itu. Ketajaman tusukan matanya masuk ke hati aku. Senyumannya menakutkan. Ada tarin...
“Bro!” Asraf Muslim menepuk bahu aku. Aku tersentak.
“Nanti aku ajar kau mengawal 'hijab' yang terbuka. 'His Kursi extends over the heavens and the earth, and their preservation tires Him not.' ” Asraf Muslim senyum pada aku.
Kata-katanya terasa masuk ke seluruh nadi. Potongan ayatul kursi yang dibaca bagai mengembalikan aku pada realiti.
Aku pandang pada wanita tadi. Dia dah hilang. Dan aku tertanya sendirian..
“Hijab?”
= TAMAT =
Maaf lama menyepi dari coretan.
Ikhlas,
Fath -AAN la familia
*Ada rezeki InsyaAllah kita bertemu di dalam
Sumber: kelab angker negara
0 Ulasan