GISBH akui ada kes liwat, persoal tindakan tanpa perbincangan


Kuala Lumpur: GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku berlaku kesalahan liwat dalam kalangan penghuninya, namun menegaskan ia hanya membabitkan segelintir individu.

 

Berikutan itu, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali berkata, adalah tidak wajar apabila keseluruhan 402 kanak-kanak ditahan pihak berkuasa untuk saringan dan keterangan.

 

Beliau tidak menidakkan kesalahan yang berlaku mahupun menyalahkan undang-undang, sebaliknya pihak berkuasa seharusnya memberikan nasihat atau mengadakan perbincangan dengan GISBH sebelum tindakan diambil.

 

"Memang ada perbincangan tapi sesuatu perkara yang mengancam ini cuba dibincangkan dahulu... ini tangkap lebih 400 kanak-kanak yang tidak tahu cerita (apa-apa) kemudian dituduh liwat dan sebagainya.

 

"Memang liwat itu ada, tapi satu dua (kes), kenapa dirangkumkan semua hasil itu? Malah kata (berlaku) memperdagangkan manusia, mengeksploitasi kanak-kanak. Ia berlaku terlalu pantas, tiada perundingan," katanya dalam kenyataan menerusi rakaman video yang disiarkan di Facebook rasmi, hari ini.

 

Nasiruddin bagaimanapun menafikan kanak-kanak terbabit disuruh meliwat dan pelbagai tuduhan lain termasuk penyediaan 'air berkat' menggunakan bulu serta kaki yang berlaku sejak 30 tahun lalu.

 

Beliau berkata, ia tuduhan yang tidak berasas dan amat jijik.

 

Katanya, pihaknya kesal dan sedih dengan tuduhan tanpa bukti sehingga menerima kecaman serta tohmahan masyarakat terutama di media sosial.

 

Beliau mendakwa tuduhan itu sebagai fitnah mahu menjatuhkan perniagaan syarikatnya yang memperjuangkan produk Islam dan mempunyai 20 cawangan rumah amal.

 

Justeru, Nasiruddin berkata, pihaknya akan mendapatkan khidmat peguam bagi memperjuangkan kebenaran dan menuntut keadilan.

 

"Bukan saya nakkan simpati tapi kita sebagai orang Islam dalam negara Islam yang mempunyai masyarakat perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan. Kenapa berlaku macam ini, malulah kita dengan orang bukan Islam apabila kita sesama Islam berbalah sedangkan ia boleh dirunding.

 

"Saya mengharapkan tuan puan tolonglah kami untuk bayar peguam, saya tidak malu minta. Kita lawan demi kebenaran dan kita nak tunjukkan (kebenaran). Kenapa semudah itu (tuduhan) dibuat tanpa berunding, kami tidak menyakitkan orang dan ini sangat sedih," katanya.


Kredit: Harian Metro


Catat Ulasan

0 Ulasan