Isteri hidap dementia tak sedar suami rentung di halaman rumah


Arau: Mayat pemotong rumput yang ditemui rentung bersama mesin pemotong rumput di laman kediamannya di Jejawi, di sini, semalam, dikenali sebagai Tunku Mahadzir Tunku Ahmad.

 

Pesara Telekom Malaysia (TM) berusia 75 tahun itu dipercayai sudah meninggal dunia selama dua hari sebelum ditemui orang awam yang melalui kawasan bangunan Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) yang terletak berhampiran kediaman mangsa.

 

Balu mangsa, Sharifah Puziah Syed Ali, 77, berkata, ketika kejadian, memang suaminya sedang membersihkan semak samun di halaman rumah dengan memotong rumput menggunakan mesin rumput.

 

"Arwah suami makcik seorang yang rajin membersihkan laman rumah dengan memotong rumput yang tumbuh meliar sekeliling rumah.

 

"Namun masa kejadian, saya sedang berehat dalam rumah dan memang tidak langsung mendengar pekikan atau jeritan meminta tolong daripada suami makcik.

 

"Malah, makcik juga tidak mengesyaki ketiadaan suami di rumah kerana makcik menyangka dia sudah pun berada di dalam rumah ketika ini," katanya ketika ditemui di kediamannya di KM4, Jalan Jejawi.

 

Katanya, dia reda dengan pemergian suaminya selepas lebih 30 tahun tinggal di kediaman itu.

 

"Makcik terkejut apabila diberitahu suami sudah meninggal dunia oleh polis yang tiba di rumah.

 

"Memang sedih tetapi makcik reda dengan pemergian suami," katanya.

 

Adik ipar Sharifah Puziah, Rosida Aziz, 60, pula berkata, kakak iparnya itu mempunyai ingatan yang agak terhad berikutan mengalami dementia.

 

"Namun, kak Sharifah ada beritahu saya bahawa semasa kejadian, dia ada membuka pintu dan melihat kepulan asap di luar rumahnya namun dia menyangka asap itu adalah dari pembakaran sampah, rumput dan daun kering yang dikumpulkan oleh suaminya.

 




"Namun, dia tidaklah menyangka bahawa yang terbakar itu adalah suaminya dan kami hanya mengetahui akan perkara ini melalui hantaran di Facebook (FB)," katanya.

 

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian masih terdapat kesan kebakaran dan cebisan kulit mangsa di tempat berlakunya kebakaran.

 

Selain itu juga pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis juga dilihat berada di tempat kejadian untuk bertemu dengan balu mangsa.

 

Proses bedah siasat bagaimanapun masih dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi mengetahui punca kejadian dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

 

Semalam, akhbar melaporkan penemuan satu mayat lelaki pemotong rumput dipercayai terbakar ditemui di halaman sebuah rumah di Jalan Besar KM4 Jejawi, Arau.

 

Mayat ditemui orang ramai yang melalui di kawasan berhampiran rumah berkenaan jam 6.33 petang bersama dengan mesin pemotong rumput yang turut terbakar bersama sekitar dua meter dari tempat mayat ditemui.


Kredit: Harian Metro

Catat Ulasan

0 Ulasan