Kanak-kanak dikurung dalam sangkar anjing

 

 


Kuala Lumpur: Hanya kerana terkencing di dalam seluar menyebabkan kanak-kanak itu dikurung dalam sangkar anjing.

 

Malah, kanak-kanak itu turut didakwa dicampak ke lantai menyebabkan mangsa terpaksa menerima lima jahitan di kepala dan tiga jahitan di mulut.

 

Itu pendedahan eksklusif bekas pengikut sebuah syarikat berkaitan produk Islam yang menyedari penindasan dilakukan pihak terbabit.

 

Bapa kanak-kanak malang terbabit yang ingin dikenali Razif (bukan nama sebenar) berkata, dia mengenali syarikat terbabit melalui abangnya pada 2009 dan mula menyertainya pada 2010.

 

Menurutnya, dia dihantar ke cawangan di Miri, Sarawak pada 2011 sebelum dijodohkan pada 2012 dengan isteri pertama dan isteri kedua pada 2019.

 

"Kejadian menyedihkan menimpa anak itu berlaku lima tahun lalu ketika dia berusia lima tahun, sekali gus menyebabkan saya mula terdetik untuk meninggalkan kumpulan ini.

 

"Ketika itu, anak saya terkencing dalam seluar menyebabkan dia dikurung di dalam sangkar anjing sebagai hukuman," katanya.

 

Razif berkata, selang beberapa bulan anaknya dicampak ke lantai menyebabkan terpaksa menerima lima jahitan di kepala dan tiga jahitan di mulut kerana terkencing di dalam seluar.

 

"Sejak kes itu saya mula berasa ada yang tidak kena dan ambil keputusan untuk keluar dari syarikat.

 

"Saya perlu bertugas di mana yang dihantar oleh syarikat termasuk rangkaian perniagaannya, namun pada 2020 saya balik ke semenanjung dan berhenti pada Oktober 2021," katanya.

 

Menurutnya, pada awalnya dia memang bimbang untuk keluar kerana keadaan keluarga yang sangat fanatik dengan ajaran mereka menyebabkan dia boleh kehilangan keluarga khusus isteri dan anak-anaknya.

 

"Saya diugut oleh pengurusan syarikat dan tidak dapat berhubung dengan isteri dan anak-anak hinggalah isteri pertama saya diarahkan oleh syarikat untuk meminta fasakh seperti terjadi kepada rakan lain yang cuba keluar dari situ.

 

"Saya juga tidak dibenarkan bertemu dengan anak-anak. Baru-baru ini barulah saya dapat perintah mahkamah untuk melawat selepas tiga tahun tidak dapat berjumpa kerana isteri dan anak saya disorokkan," katanya.


Kredit: Berita Harian 


Catat Ulasan

0 Ulasan