ALOR GAJAH – Pengasuh Muhamad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri
dilihat menangis teresak-esak di dalam kamar Mahkamah Majistret di sini, hari
ini selepas dipeluk suami dan bapanya sebelum diiringi keluar oleh anggota
polis.
Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34, hari ini didakwa atas
pertuduhan membunuh Muhammad Al Fateh yang berusia lapan bulan di sebuah taman
asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, Jumaat minggu lalu.
Dia bagaimanapun hanya mengangguk faham dan mengesat air
matanya sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan
Majistret Dr. Teoh Shu Yee.
Tertuduh yang juga merupakan ibu tiga anak sempat dipeluk dan
diusap di bahagian belakang badan oleh suaminya kira-kira lima minit bagi
menenangkannya.
Anak-anak tertuduh yang berusia dua, enam dan lapan tahun
bagaimanapun tidak dibawa bersama-sama oleh ahli keluarga.
Nor Afifah kemudian dipeluk erat oleh bapanya, menyebabkan
semua ahli keluarga tidak dapat menahan sebak termasuk orang awam yang berada
di dalam kamar mahkamah.
Pemerhatian Kosmo! di lokasi juga sempat melihat tertuduh
beberapa kali dalam keadaan longlai dan dibantu oleh ahli keluarga untuk
berdiri semula bagi membolehkan dia diiringi keluar oleh anggota polis.
Terdahulu, mengikut pertuduhan, Nor Afifah didakwa melakukan
bunuh dengan menyebabkan kematian bayi lelaki Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry
Amri, lapan bulan di sebuah taska di Taman Kelemak Utama antara pukul 7.30
hingga 8.30 pagi 6 pada September lalu.
Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40
tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri,
Ahmad Sazali Omar, manakala tertuduh diwakili peguam Hermes Media Putra
Ibrahim.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 13 November bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Kredit: KOSMO!
ONLINE
0 Ulasan