KUALA BERANG: Permintaan tinggi
terhadap 'kepala beruk' mendorong seorang penduduk perkampungan Orang Asli
Sungai Berua, di sini, berulang-alik ke hutan untuk mendapatkan tumbuhan itu.
Alias Pelong, 59, berkata jualan
tumbuhan hutan yang turut dikenali sebagai 'sarang semut' yang hidup liar dan
menumpang pada pokok hutan lain itu membolehkannya menjana pendapatan lebih
RM1,000 sebulan.
Beliau berkata, pokok 'kepala
beruk' yang digunakan dalam perubatan tradisional mendapat permintaan tinggi
dalam kalangan pembeli di Jeli, Kelantan, sejak 10 tahun lalu.
Katanya, tumbuhan itu biasanya
hidup menumpang pada pokok besar seperti neram, meranti dan seraya, namun untuk
mendapatkannya bukan mudah kerana perlu memanjat pokok berkenaan.
"Kepala beruk yang diperoleh
akan diikat dan diturunkan menggunakan tali kerana tumbuhan tumpang itu mudah
pecah jika dikendalikan tidak cermat.
"Apabila ke hutan, ada
kalanya saya hanya dapat satu atau dua kepala beruk saja yang kemudian dikumpul
hingga beratnya mencecah 100 hingga 200 kilogram (kg).
"Tumbuhan ini tidak boleh
disimpan lama kerana mudah reput dan jika cukup jumlah berat kepala beruk yang
diinginkan, saya akan menjualnya kepada pembeli.
"Bagi berat sekilogram
kepala beruk dijual dengan harga RM5 hingga ke RM6, jadi saya memerlukan
kuantiti yang banyak sebelum menghantarnya kepada pembeli di Jeli,"
katanya.
Alias berkata, dalam tempoh
seminggu, dia mampu mengumpul antara 200 hingga 300 kilogram kepala beruk dan
kerja itu dilakukan bersama ahli keluarganya.
Katanya, tumbuhan itu mudah
diperoleh di atas pokok yang kedudukannya berdekatan sungai, namun agak sukar
untuk membawa pulang dalam kuantiti banyak kerana saiznya yang besar dan berat.
"Selagi kudrat masih kuat,
saya akan terus melakukan kerja mencari kepala beruk kerana permintaan tidak
putus-putus sejak mula mencari hasil hutan itu.
"Disebabkan ia hanya boleh
diperoleh di hutan dan sukar untuk memperolehnya, jadi saya tiada saingan dalam
bidang ini kerana sudah ada pembeli tetap," katanya.
0 Ulasan