MELAKA - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta Perodua
Myvi yang dipandunya terbabas sebelum terjunam dari atas Jambatan Syed Abdul
Aziz setinggi kira-kira 30 meter di sini, pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner
Christopher Patit berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 5.30 pagi
apabila lelaki yang memandu sendirian itu dipercayai terlelap akibat mengantuk.
Menurutnya, ketika kejadian lelaki yang beralamat di Taman
Paya Rumput Indah, Alor Gajah dalam perjalanan dari arah pusat bandar menghala
ke Limbongan.
"Setiba di lokasi dia dipercayai terlelap ketika memandu, menyebabkan kereta yang dipandunya terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh penghadang.
"Impak kejadian itu menyebabkan kenderaan terbabit
terjatuh ke bawah jambatan setinggi kira-kira 30 meter," katanya dalam
satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Christopher Patit berkata, mangsa
bagaimanapun terselamat dan mengalami kecederaan di bahagian badan serta kaki
kanan lalu dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut dan
keadaanya dilaporkan stabil.
"Polis juga sedang berusaha mengesan saksi kejadian dan
kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule
10 LN 166/59)," ujarnya.
Kredit: Sinar
0 Ulasan