Pada tahun 2012, Dylan Redwine adalah seorang
remaja berusia 13 tahun yang tinggal bersama dengan ibunya iaitu Elaine
Redwine, di Durango, Colorado, Amerika Syarikat. Tentang bapa Dylan, namanya
adalah Mark Redwine. Mark dan Elaine bercerai pada tahun 2010 dengan punca
penceraian mereka adalah disebabkan tentang isu penjagaan anak.
Kisah
sebenar bermula pada sekitar bulan November 2012 yakni semasa Dylan pergi
mengunjungi rumah Mark yang terletak di Colorado sempena Hari Perayaan
Thanksgiving. Seperkara harus diketahui, kunjungan yang dilakukan oleh Dylan
ini adalah perintah dari mahkamah. Apa yang berlaku kemudian, Dylan dilaporkan
hilang walaupun dia sebelum itu sempat menghantar teks pesanan kepada ibunya
yang menyatakan dirinya telah sampai di rumah bapanya.
Laporan kehilangan Dylan tersebut dibuat sendiri
oleh Mark. Menurut Mark, Dylan dipercayai hilang sewaktu ketiadaannya di rumah
untuk beberapa jam. Namun dari sisi Elaine, dia menyatakan bahawa dirinya
bimbang Dylan berkemungkinan telah dicederakan oleh Mark. Perkara ini berikutan
Mark pernah membuat ugutan untuk membunuh Dylan semasa dia dan Elaine masih
dalam proses penceraian.
Operasi mencari dan menyelamatkan Dylan telah dijalankan oleh pihak berkuasa dan juga anggota sukarelawan di sekitar kawasan rumah Mark. Walau bagaimanapun, operasi pencarian tersebut mengalami kesukaran disebabkan faktor geografi di kawasab berkenaan. Hinggalah pada sekitar bulan Jun 2013, pasukan pencarian telah menemui beberapa tulang di lokasi terpencil yang berhampiran dengan rumah Mark.
Hasil ujian forensik, tulang tersebut disahkan sebagai milik Dylan. Pada
November 2015 bertempat di lokasi yang sama, tengkorak Dylan ditemui.
Pemeriksaan forensik menunjukkan bahawa terdapat tanda-tanda trauma pada
tengkorak Dylan termasuklah kecederaan yang mungkin disebabkan oleh senjata
tajam.
Suspek
sudah semestinya Mark sendiri. Dia mula dicurigai rentetan penemuan beberapa
bukti seperti darah Dylan di dalam rumahnya dan juga anjing pengesan mayat yang
mengesan bau di seluruh rumah dan di dalam kereta milik Mark. Motif Mark?
Hubungannya dengan Dylan yang dilaporkan begitu dingin sekali. Terdapat laporan
yang mendakwa bahawa Dylan dan abangnya iaitu Cory pernah melihat gambar jijik
Mark. Gambar yang dimaksudkan gambar Mark yang memakai bra berwarna merah dan
lagi jijik, gambar Mark yang memakan najis dari lampin. Penemuan gambar ini
telah menambahkan kemarahan Mark kepada anaknya.
Mark
akhirnya ditangkap pada 2017. Walaupun tidak pernah membuat sebarang pengakuan
tentang bagaimana cara pembunuhan Dylan dilakukan, Mark tetap didakwa dengan
pembunuhan peringkat kedua dan pengabaian kanak-kanak. Pengakhiran kes, Mark
dijatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun.
Kredit: Jcak Lester
0 Ulasan