'Ya, saya kahwin dengan anggota polis, isteri saya yang pinangkan' - Muhammad Sanusi

 



Kuala Nerang: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui beliau sudah berkahwin dengan seorang anggota polis baru-baru ini.

 

Beliau berkata pengakuan itu dibuat kerana beliau tidak mahu kisah peribadinya terus menjadi bualan dan menjadi spekulasi sehingga ada yang mendakwa beliau ditangkap khalwat.

 

"Ada ka saya kena tangkap khalwat, tak patut sungguh, saya kahwin dengan anggota polis, isteri saya (Tok Puan Seri Jusmalailani Jusoh) pergi meminang dia, pinangan itu dibuat berbulan-bulan dah.




"Alhamdulillah sempurna, teratur. Dia seorang ibu tunggal anak satu.

 

"Ketika perkahwinan, isteri ada anak-anak saya pun hadir dan semua proses (prosedur) semua dipatuhi... Saya tak berhasrat untuk buat pengumuman, saya nak elak benda sensasi yang tak perlu ini.

 

"Saya pun kasihan tengok hangpa (wartawan) ligan (kejar) saya... saya pun kasihan, saya rasa tak ada isu apa, saya ada kuota dua lagi, depa kata tok lebai Pas ni kira menikah je kan?" katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan geran hak milik kepada penduduk di Dewan Komuniti FELCRA Belimbing Tualak, di sini, hari ini.

 

Muhammad Sanusi berkata beliau tidak mahu terus mengeruhkan keadaan kerana dalam Islam adalah haram menjaja mengenai rumah tangga orang lain.

 

Menyentuh mengenai perkenalan dengan isteri baharunya itu, beliau berkata, ia bermula apabila wanita terbabit dalam siasatan kes sebuah kabin kontena kosong yang dijadikan stor dalam kawasan kediaman rasmi menteri besar terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.

 

"Isteri (baharu) saya bukan penyiasat REE (unsur nadir bumi), dia penyiasat ada satu pengeboman di kediaman rasmi menteri besar, bom itu pun dah meletup, kontena itu terbakar.

 

"Saya jumpa beliau untuk kali pertama dan kali terakhir atas siasatan bom, jadi polis datang ramai ramai ambil statement (kenyataan) sebab siasatan, lepas itu dia jadi kawan isteri saya.

 

"Dia ada mengaji di kuliah sama dengan isteri, tak ada kawan dan berjumpa, lepas kahwin saya bercinta.

 

"Saya nak maklumkan pada tuan-tuan, percintaan selepas perkahwinan lebih indah daripada percintaan sebelum berkahwin, harap lepas ini tak ada spekulasi apa-apa lagi hal peribadi hal rumah tangga tak eloklah diheret merata rata, hormati privasi saya keluarga saya anak saya," katanya.

 




Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menafikan kenyataannya berhubung dia berjaya menangkap orang yang mahu menangkapnya semasa berucap pada Sidang Kemuncak State Government (SG4) baru-baru ini mempunyai kaitan dengan isteri baharunya itu.

 

Kenyataan itu sebaliknya ditujukan berkaitan serangan yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution mengenai perlombongan unsur nadir bumi (REE).

 

Kredit: Harian Metro

 

Catat Ulasan

0 Ulasan