BATU PAHAT: Kasih sejati seorang sahabat memeluk rakan yang
sudah meninggal dunia selama enam jam untuk mengelak hanyut dibawa arus selepas
bot mereka karam di perairan Batu Pahat dekat Sungai Suloh, di sini, awal pagi
tadi.
Muhammad Nizam Salleh, 56, berkongsi detik akhir memeluk
mayat sahabatnya, Norhisham Ahmad, 58, selepas menyedari sudah meninggal dunia
dalam kejadian pada jam 2 pagi.
Menceritakan peristiwa itu, bekas imam Masjid Sungai Suloh
berkata, mereka berempat termasuk arwah serta dua lagi rakan dikenali sebagai
Azlan, 34, dan Man, 23, sedang berehat atas bot sementara menunggu masa
melabuhkan pukat kali kedua.
"Ketika itu, ada tanda-tanda angin kencang datang namun
belum kuat, jadi kami berempat berehat termasuk masak dan makan bersama-sama.
Selepas melihat arah barat, saya terus beritahu arwah angin kencang seolah-olah
sudah dekat.
"Tiba-tiba ribut datang sekitar jam 1.45 pagi dan kami
meneruskan perjalanan untuk pulang dalam keadaan angin kuat serta gelombang.
Kira-kira 15 minit selepas itu, bot mula masuk air lalu tenggelam.
"Saya terus jerit pada mereka supaya mengambil jaket
keselamatan dan tong sebelum keluar dari bot. Bot kami naiki karam dan kami
terus terjun ke laut dengan jaket keselamatan.
"Mula-mula arwah dalam keadaan baik namun kira-kira 10
minit selepas kejadian, badan dia semakin lemah. Saya sempat ajar dia mengucap
dan tidak lama kemudian, dia terus senyap," katanya ketika ditemui di
rumahnya di Kampung Sungai Suloh, di sini.
Menurutnya lagi, sewaktu mereka terapung di laut, arwah
sempat memberitahunya supaya memeluk badan untuk elak mereka berpisah dan
dihayutkan arus.
"Sebaik dia sudah meninggal dunia, saya tidak sesekali
melepaskan pelukan itu. Saya ikat dua tong di pinggang kiri dan kanan arwah
manakala dadanya, saya letak jaket keselamatan sambil memegang tangannya.
"Saya pesan pada Man dan Azlan supaya jangan tidur atau
terminum air masin banyak. Kami berempat hanyut dari Parit Balak sehingga Kuala
Sungai Ayam, ketika itu arus sungai kuat dan kami cuba berenang ke tepi namun
gagal.
"Kedudukan kami kira-kira dua kilometer dari darat namun
kami kembali hanyut kembali ke tengah kerana air pasang. Sekitar jam 8 pagi
barulah saya ternampak pondok memancing (kelong) pada kedudukan 300 meter.
"Kebetulan ada orang memancing dekat lubuk kupang, jadi
mereka (pemancing) yang terdengar jeritan kami terus menolong kami,"
katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Nizam berkata, dia sukar
menyembunyikan kesedihan bila melihat sahabat karibnya meninggal dia depan
mata.
"Sedih itu jangan cakaplah dan berserah pada qada dan
qadar. Yang sedih bila kami ke laut bersama-sama sejak usia enam tahun mengikut
orang tua dan persahabatan kami kekal hingga hari ini," katanya.
Sementara itu, isteri Allahyarham Norhisham, Noriah Hashim,
56, berkata dia mengetahui kejadian itu jam 8 pagi selepas seorang jiran datang
memaklumkan suaminya sudah meninggal dunia.
"Waktu itu, saya keluar bersama anak untuk sarapan
sebelum didatangi rakan jiran memaklumkan kejadian sebenar. Saya terpinga-pinga
kerana tidak percaya berita sedih yang disampaikan kepadanya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten
Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan
pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.
Kredit: Berita Harian
0 Ulasan