"Abang dia pun meninggal kemalangan, saya redha ni sudah takdir" - Bapa

 


Kemalangan melibatkan empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, Kuala Terengganu yang dirempuh sebuah kereta pada Rabu malam ternyata meruntun jiwa.

 

Antara yang paling berdukacita dengan perkhabaran ini semestinya bapa kepada Khairil Anwar Jamaludin, 20, salah seorang daripada tiga pelajar yang maut dalam kemalangan tragis di hadapan kampus berkenaan di Kampung Sura Hujung. Dungun.

 

Ketika dihubungi, Jamaludin Hussin, 53, meluahkan rasa sedih kehilangan anak bongsu yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Perakaunan yang mana pelajar itu baru mendaftar masuk semester ketiga pada minggu lalu.

 

 "Kehilangan mak, bapa mahupun adik beradik adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan kehilangan seorang  anak. Menggigil tangan dan saya sudah tak tentu arah dibuatnya sekarang ni.

 

"Baru saja minggu lepas saya hantar sendiri Khairil ke Dungun untuk sambung pengajian semester baharu," ujarnya memulakan cerita.

 

Keluarga arwah, Khairil Anwar anak bongsu daripada lima beradik

Menurut bapa kepada lima cahaya mata itu, anak-anaknya sangat rajin mencari duit belanja sendiri setiap kali musim cuti panjang, begitu juga Khairil.

 

Malah, anak kesayangannya itu sempat memberikan hadiah kepada ibunya sebelum pulang ke kampus sekali gus menjadi pemberian terakhir.

 

"Sebelum dia kembali ke kampus, Khairil ada bagi mak dia hadiah gold bar. Dia belikan sebab baru lepas dapat gaji hasil bekerja sambilan berniaga di sebuah kedai kopi.

 

"Anak-anak saya memang semua pandai cari duit untuk keluarga. Pantang ada cuti panjang memang mereka akan cari kerja sambilan tak kira apa jua jenis pekerjaan pun," katanya.

 

Menurut Jamaludin yang menetap di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, pemergian anak kesayangannya ini merupakan satu kehilangan besar yang dialami kali kedua sejak tujuh tahun lalu.

 

Jamaludin berkata, pemergian anak sulungnya, Muhammad Khairul Izzudin pada 13 Oktober 2017 yang juga terbabit dalam kemalangan cukup memberi kesan mendalam buat dirinya dan keluarga.

 

Untuk makluman, Khairil Anwar yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV.

 

Dalam kejadian itu, dua rakannya yang menaiki motosikal Yamaha Y15ZR turut maut dan seorang lagi cedera parah.

 

"Sebenarnya ini kali kedua saya kehilangan anak. Sebelum ni abang sulung Khairil terlibat dengan kemalangan juga.

 

"Pengalaman yang sama, bulan sama (Oktober)... masa pun sama cuma tarikh saja berbeza. Maknanya genap abang sulung dia meninggal tujuh tahun lalu, Khairil pula 'pergi'.

 

"Motosikal Yamaha LC yang Khairil naiki malam kejadian tu adalah kenderaan sama yang abang dia tunggang malam kemalangan tu," katanya lagi.

 

Mengulas lanjut mengenai kejadian, Jamaludin berkata dia dan ahli keluarganya reda dan percaya apa yang berlaku merupakan takdir serta ketentuan-Nya.

 

Maknanya genap abang sulung dia meninggal tujuh tahun lalu, Khairil pula 'pergi'. JAMALUDIN HUSSIN - BAPA KHAIRIL

 

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang selepas proses pengurusan dibuat sepenuhnya oleh pihak UiTM Dungun.

 

Meskipun begitu, bapa Khairil turut meluahkan rasa terkilan apabila mengetahui punca kematian anaknya yang maut akibat mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

 

"Lepas dapat berita malam semalam (Rabu), terus bergegas ke hospital dan kemudian berjumpa inspektor polis. Saya diberitahu memang tiada post-mortem sebab sudah buat pengecaman mayat dan laporan.

 

"Masa post-mortem, bukan tak nak tengok tapi tak mampu nak lihat keadaan anak saya masa pengecaman mayat tu. Cuma apa yang saya boleh katakan jasad arwah semuanya sempurna.

 

"Saya dimaklumkan oleh anak saudara yang bahagian kepala dia pecah (cedera) terhantuk simen penghadang longkang. Masa berjumpa dengan pihak forensik pun, mereka ada beritahu bahagian leher anak saya patah," ujarnya lagi.

 

Sebagaimana dimaklumkan pihak polis kepada Jamaludin, pemandu wanita berusia 49 tahun yang merempuh motosikal anaknya dipercayai tidak siuman.

 

"Pihak polis ada beritahu saya, ramai ada maklumkan yang sebelum kejadian suspek ni ada menari-nari dan mengganggu orang awam. Masa kejadian tu ada juga orang sekeliling nampak cara pemanduan dia.

 

"Dia memecut laju walaupun langgar bonggol. Anak saya dan kawan-kawan dia baru balik dari makan malam. Jadi suspek langgar motosikal anak saya dari belakang sampai total lost (motosikal).

 

"Saya memang tak boleh terima macam mana suami dia benarkan seseorang (isteri) yang mental macam tu bawa kereta. Polis bantuan ada beritahu seorang pensyarah menyifatkan  kemalangan ini adalah paling ngeri pernah terjadi dalam 13 tahun dia mengajar. Sampaikan dia pun menggigil dengar," jelasnya.

 


Catat Ulasan

0 Ulasan