KATHMANDU: Satu mayat manusia di Gunung Everest yang
dipercayai milik seorang lelaki yang hilang ketika cuba untuk menawan puncak
itu 100 tahun lalu, ditemui oleh sebuah pasukan dokumentari, National
Geographic, semalam.
Mayat dipercayai warganegara Britain, Andrew Irvine, hilang
pada tahun 1924 bersama rakan pendakinya, George Mallory, ketika kedua-duanya
berusaha menjadi yang pertama menakluk puncak Everest, yang berada pada 8,848
meter di atas paras laut.
Mayat Mallory ditemui pada tahun 1999 tetapi petunjuk
mengenai nasib Irvine sukar ditemui sehingga pasukan National Geographic
menjumpai kasut, yang masih melindungi sisa kaki, di Glacier Central Rongbuk di
puncak.
Selepas pemeriksaan lebih dekat, mereka menemui sepasang
stoking dengan label merah yang mempunyai tulisan A.C. IRVINE terjahit di
dalamnya, lapor majalah itu.
Penemuan itu mungkin memberikan petunjuk lanjut mengenai
lokasi barang peribadi pasangan berkenaan dan mungkin membantu menyelesaikan
antara satu misteri paling lama dalam dunia pendakian iaitu sama ada Irvine dan
Mallory pernah berjaya sampai ke puncak.
Ini mungkin dapat mengesahkan Irvine dan Mallory sebagai yang
pertama berjaya menakluk puncak itu, selepas hampir tiga dekad sebelum pendaki
yang diiktiraf pertama pada tahun 1953, Edmund Hillary dan Tenzing Norgay.
Menurut anak saudara Irvine, Julie Summers, berkata penemuan
itu menceritakan keseluruhan kisah mengenai apa yang mungkin berlaku.
Anggota keluarga Irvine dilaporkan menawarkan untuk berkongsi
sampel DNA bagi mengesahkan identiti Irvine yang berusia 22 tahun ketika dia
hilang.
Dilaporkan, Irvine dan Mallory kali terakhir dilihat oleh
seorang anggota ekspedisi mereka pada petang 8 Jun 1924, selepas memulakan
pendakian terakhir ke puncak pada pagi yang sama.
Irvine dipercayai membawa jaket kamera aiitu penemuan yang
mungkin dapat mengubah sejarah pendakian.
Sementara itu, jurugambar dan pengarah Jimmy Chin, yang
sebahagian daripada pasukan National Geographic, percaya penemuan itu pasti
mengurangkan kawasan pencarian untuk kamera yang sukar ditemui itu.
Lebih 300 orang terkorban di Everest sejak ekspedisi bermula pada tahun 1920-an di mana sebahagiannya tersembunyi di bawah salji atau ditelan ke dalam celah yang dalam.
Kredit: Berita Harian, AFP
0 Ulasan