DUNGUN - Fenomena ribuan ikan bilis terdampar di sepanjang pantai bermula dari Pantai Teluk Lipat sehingga kawasan pantai berdekatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun di sini bukan sesuatu yang luar biasa.
Bagaimanapun, menurut seorang nelayan, Roslan Endot, 52, kejadian itu kali pertama berlaku di kawasan tersebut pada tahun ini.
"Sebenarnya fenomena ikan bilis naik ke darat ni selalu berlaku hampir saban tahun sebab ikan-ikan itu mengikut arus ombak sehingga ke tepi pantai.
"Kawanan ikan bilis itu bermain di pesisiran pantai, bila ombak menolak dengan kuat, secara automatik ia naik ke darat.
"Cuma untuk tahun 2024, ini kali pertama kita lihat ikan-ikan bilis terdampar di pantai ini dan kebetulan ada yang rakam aksi pengunjung menangkap ikan itu dan tular di media sosial," katanya ketika ditemui pemberita di pantai Kampung Sura Tengah, di sini, pada Ahad.
Menurut Roslan, fenomena tersebut biasanya berlaku pada sebelah pagi dan ikan tersebut akan beredar ke kawasan lain menjelang tengah hari.
Katanya, susulan fenomena tersebut beberapa nelayan berjaya menangkap dan membawa pulang ikan bilis selepas turun menangkap ikan itu pada pagi Ahad.
Ada kumpulan nelayan yang menahan jaring berjaya menangkap dan menaikkan muatan ikan bilis hampir sebuah lori.
"Kita percaya ikan bilis itu daripada spesies bilis tembaga berdasarkan saiznya yang agak besar," katanya.
Pada Sabtu tular video berdurasi 15 saat di laman sosial memaparkan dua lelaki asyik menangkap ikan bilis yang terdampar di pantai dan memasukkannya ke dalam botol.
Video tersebut mula dimuat naik melalui aplikasi TikTok dan mendapat lebih 112,000 tontonan.
Kredit: Sinar Harian
0 Ulasan